Wednesday, June 27, 2012

MATRADE


Keadaan pasaran global yang kian berkembang dan meningkat pada ketika ini selaras dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah mengakibatkan wujudnya satu suasana perniagaan yang sangat kompetitif  dan maju. Sehubungan dengan itu, syarikat-syarikat tempatan hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk bertindak mengambil langkah yang drastik sesuai dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling. Berbagai-bagai pihak terutamanya pihak kerajaan banyak memberi sumbangan dan sokongan yang berterusan dalam usaha-usaha untuk membantu syarikat-syarikat yang ada di Malaysia membangun dan berkembang bukan sahaja di peringkat negara bahkan juga di peringkat global. Keadaan ini adalah penting untuk mewujudkan usahawan negara yang lebih berdaya saing, bersemangat dan berkeyakinan dalam mengembangkan produk dan perkhidmatan yang dijalankan. Menyedari akan kepentingan ini, kerajaan telah menubuhkan beberapa badan yang dapat membantu enterpris / usahawan untuk mendapatkan bantuan dan maklumat. Antaranya adalah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mana telah ditubuhkan sejak 1 Mac 1993 sebagai promosi perdagangan luar oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa. MATRADE  berfungsi sebagai pusat aktiviti bagi pengeksport rakyat Malaysia dan pengimport-pengimport asing untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan perdagangan. Dengan menyediakan maklumat kajian pasaran dan nasihat-nasihat yang relevan, MATRADE membantu pengimport-pengimport Malaysia kepada satu kedudukan produk dan perkhidmatan yang lebih baik  di dalam persaingan pasaran dunia. Misi perbadanan ini ditubuhkan adalah untuk mengembangkan dan mempromosikan eksport Malaysia kepada seluruh pelusok dunia. Dengan itu, ia dapat mempertingkatkan bukan sahaja ekonomi negara  tetapi juga dapat membuka peluang kepada negara untuk maju seiring dengan negara-negara lain di dunia.

No comments:

Post a Comment